26.1.09

Jangan percaya bomoh?


PERCAYA RAMALAN KARUT BOMOH BOLEH ROSAK AKIDAH


Bomoh, dukun dan pawang mempunyai kerjaya yang sama iaitu mengubat atau merawat orang sakit. Pawang pula diertikan sebagai mempunyai kebolehan istimewa untuk melakukan sesuatu menggunakan kuasa ghaib, mengubati orang sakit menggunakan jampi mEntera.

Dalam sejarah tamadun Islam, ahli perubatan dikenali sebagai tabib. Mereka mengubati penyakit menggunakan ubat dipercayai boleh melawan penyakit sama ada berpunca daripada kuman atau perubahan suhu badan dan sebagainya.

Ubat itu daripada bahan semula jadi seperti madu, tumbuh-tumbuhan, hidupan di darat atau laut yang dikenal pasti melalui al-Quran, hadis atau pengalaman.

Tabib Muslim meyakini setiap penyakit ada ubatnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“ Allah tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan sama dengan ubatnya ”


Adakah bomoh boleh disamakan dengan tabib dan khidmat mereka direstui Islam?

Jika bomoh atau dukun itu mengubat pesakit hanya menggunakan jampi berupa doa kepada Allah atau ayat al-Quran, berkemungkinan tidak menyalahi ajaran Islam dengan syarat ayat yang dibaca sesuai dengan isyarat Rasulullah SAW bahawa sebagai penawar untuk penyakit tertentu. Begitu juga mengubat dengan menggunakan akar kayu dan sebagainya.

Bomoh, dukun atau pawang yang mengubat pesakit menggunakan kuasa ghaib, maka dia tidak dapat disamakan dengan istilah tabib tetapi boleh disenaraikan termasuk kukang tenung)atau arruf (tukang tilik) yang dilarang dalam Islam.

Tukang tenung sebelum mengubati pesakit meramal punca penyakit melalu air dalam mangkuk, keris atau dengan cara menurun kononnya roh masuk ke dalam diri yang sebenarnya ialah jin atau syaitan. Kemudian dia memberitahu pelanggannya penyakit yang dihadapi berpunca daripada perbuatan orang atau terkena sampuk jembalang.

Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semata-mata” (Surah al-Naml, ayat 65)


Rasulullah SAW juga menegaskan mengenai dirinya dengan perintah Allah yang bermaksud:

“ Kalaulah saya dapat mengetahui perkara ghaib, nescaya saya dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan saya tidak akan ditimpa suatu musibah; saya tidak lain hanya seorang Nabi yang membawa khabar duka dan khabar gembira untuk kaum yang mahu beriman”

(Surah al-A’raf, ayat 18 )

Islam tidak mengehadkan dosa hanya kepada tukang tenung tetapi sesiapa saja yang membabitkan diri dengan kegiatan itu, turut dihukumkan berdosa.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“ Sesiapa yang datang menemui `arraf (tukang tilik) kemudian menanyakan mengenai sesuatu maka solatnya tidak diterima selama 40 hari ”

Hadis riwayat Muslim


Islam memang mengakui adanya sesetengah penyakit disebabkan sihir dan Islam mempunyai cara tersendiri untuk menjauhkan diri daripada terkena sihir atau cara merawatnya iaitu mencari doa, ayat serta surah tertentu.